Baca label dulu?
Oleh Shanon Shah
shanonshah@thenutgraph.com
BILA saya berumur tujuh tahun, ibu kepada rakan sekelas saya amat terhibur mendengar saya berceloteh dalam bahasa Hokkien dengan anaknya. "Kamu ini orang (bangsa) apa?" dia bertanya dalam bahasa Hokkien. "Saya ini orang putih (Inggeris)," saya menjawab. Dia tertawa terbahak-bahak.
Tapi saya serius! Benar, saya boleh berbahasa Malaysia dan Hokkien, tetapi saya bertutur dengan ibu bapa dan adik-beradik saya dalam bahasa Inggeris. Tambahan pula, saya ini kacukan — banyaklah campur-aduk ini dan itu. Jadi, mengikut logik seorang kanak-kanak Darjah Satu, tidaklah tepat saya menjawab yang saya ini "Melayu" atau "Cina" atau "India" atau "Pakistan". Keluarga saya bertutur bahasa Inggeris, jadi bukankah kami berbangsa Inggeris?
Bila umur saya meningkat, barulah saya faham — saya kena tandakan ruangan "Melayu" di borang rasmi. Jadi saya menjadi orang "Melayu". Tapi bagi saya, label "Melayu" sebenarnya satu misteri yang amat menarik. Malah, label "Cina" dan "India" juga amatlah menarik. Bila saya berkenalan dengan siapa-siapa, saya pasti akan bertanya, "Awak ini orang apa sebenarnya?"
Oleh kerana saya bertanya dengan penuh minat dan hormat, para kenalan saya ini jarang tersinggung. Yang "Melayu" kadang-kadang akan mengaku, "Belah bapa keturunan Jawa, belah emak keturunan Minang." Yang "India" kadang-kadang menjelaskan, "Bapa saya orang Tamil beragama Kristian arus Protestan, ibu saya orang Malayalee beragama Katolik." Yang "lain-lain" pula sangatlah menarik: "Belah bapa Serani Portugis, belah emak Cina."
Jadi saya amatlah tertarik dengan saranan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, agar ruangan "bangsa/keturunan" digugurkan dalam borang rasmi. Kecuali untuk perkara yang berkaitan dengan hak istimewa bumiputera. Pengecualian Mukhriz ini sudah dikupas dengan teliti. Tapi saya ingin pula menumpukan perhatian kepada cadangannya secara keseluruhan.
Mukhriz membuat saranan ini pada 9 Ogos 2009. Pada 12 Ogos pula, Zainuri Misfar telah bertanya, Benarkah filem Yasmin karya tanah air paling hebat?, dalam ruangan Fragmennya dalam akhbar Berita Harian. Saya rasa soalan Zainuri memang wajar ditanya, tetapi saya agak terkejut dengan hujahnya menyoal "kualiti" karya arwah Yasmin Ahmad.
Zainuri menulis, "Misalnya, babak gadis Melayu berbaju kurung berdiri di hadapan daging babi salai di sebuah restoran Cina dalam filem Sepet, boleh menimbulkan tanda tanya kepada penonton kanak-kanak." Orang Melayu berdiri depan restoran Cina pun boleh menimbulkan tanda tanya? Tanda tanya tentang apa? Barangkali tentang hakikat bahawa kita di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama? Bukankah itu saranan Mukhriz?
Label dan stereotaip kaum seolah-olah mencadangkan bahawa di Malaysia, semua orang Melayu sepatutnya 100% Melayu, semua orang Cina sepatutnya 100% Cina, dan semua orang India sepatutnya 100% India, dan seterusnya. Di Semenanjung Malaysia terutamanya, kita mempunyai gambaran stereotaip tambahan tentang "bangsa-bangsa" ini — semua orang India mesti bertutur bahasa Tamil dan beragama Hindu; orang Melayu yang bertutur dalam bahasa Inggeris semuanya "celup"; orang Cina mesti sembah tokong dan makan menggunakan kayu penyepit; dan sebagainya.
Logik yang mengelirukan
Jeff Ooi (© Joi Ito / Flickr)
Label seperti ini tidak hanya berdasarkan bangsa, tetapi agama dan jantina kita juga. Yang menimbulkan tanda tanya untuk saya ialah apabila label seperti ini dipolitikkan habis-habis. Ambillah contoh wakil rakyat DAP dari Jelutong, Jeff Ooi, yang baru-baru ini mendakwa bahawa Jemaah Islah Malaysia (JIM) merupakan puak Islam pelampau ("religious extremist"). Saya rasa ini memang satu kenyataan yang tidak tepat, malah berniat buruk, tentang JIM.
Yang lebih membingungkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sekarang mahu menyoal Ooi atas dakwaan dia "menghina Islam". Menghina Islam! Mungkin Ooi telah menghina JIM, tetapi adakah menghina JIM itu sama ertinya dengan menghina Islam? Betulkah kalau kita menghina sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam ia bererti kita sudah menghina agama Islam itu sendiri?
Jika begitu, saya hairan pula Musa tidak menyiasat ahli PAS dan Umno yang menghina Sisters in Islam. Kenapa itu pula tidak dianggap sebagai "menghina Islam"? JIM dan Sisters in Islam merupakan dua NGO berteraskan Islam yang dihormati dan bermaruah. Mungkin pendirian mereka berbeza atas beberapa isu, tetapi dua organisasi ini saling menghormati. Malah, kedua-duanya banyak bekerjasama dalam Gerakan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (GMI). Pelik bin ajaib.
Kepentingan label
Label kadang-kadang penting untuk kita menggariskan pilihan hidup tertentu dan kepercayaan kita. Tetapi apabila dipolitikkan, label boleh digunakan untuk memeras, malah melanggar hak rakyat. Contohnya, di Amerika Syarikat dan United Kingdom, label "pengganas" digunakan untuk menyekat hak asasi puak Islam tertentu dan pengkritik kerajaan. Di Malaysia pula, label "Islam liberal" digunakan untuk tujuan yang sama. Banyak label lain yang digunakan untuk menghina atau mematahkan golongan tertentu — "lelaki lembut", "pendatang", "sekular", "pendatang asing tanpa izin", "pengganas", "feminis", "Melayu", "Cina", "Islam", "Zionis", "Taliban", "kafir", dan sebagainya.
Maya Karin (© psyfull / flickr)
Secara peribadi, saya sudah lama selesa dengan label "Melayu", "Islam", "lelaki", "demokrat" dan "feminis". Malangnya, label-label ini tidak cukup untuk mewakili identiti saya yang sepenuhnya. Otak nakal saya tiba-tiba memancarkan idea yang menarik.
Apa kata orang seperti saya semuanya mula mempopularkan istilah "kacukan"? Renungkanlah.Maya Karin merupakan anak kacukan. Jaguh skuasy negara, Mohd Azlan Iskandar, merupakan anak kacukan. Bintang filem tersohor, Hans Isaac, anak kacukan. Keanu Reeves, Halle Berry, Mariah Carey, dan bintang siri Prison Break, Wentworth Miller, semuanya anak kacukan. Presiden Amerika Syarikat, Barack Hussein Obama pun anak kacukan! Kita boleh tubuhkan Parti Ketuanan Kacukan Antarabangsa, dan kita boleh merampas kuasa di seluruh dunia! Muahahaha!
Atau mungkin kita boleh guna saja istilah "anak Malaysia" atau "warga global". Suka hatilah. Saya lebih suka cadangan saya untuk mengambil alih puncak kuasa di dunia.
No comments:
Post a Comment